Skip Ribbon Commands
Skip to main content

BKISHHB > What's On > News > News Item
Majlis Perasmian Pameran Sirah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam Al-Rawdah Al-Sharifah dan Al-Hujrah Al-Nabawiyyah

Published On : Thursday, 04 September 2025

​BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 4 September. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Pameran Sirah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam Al-Rawdah Al-Sharifah dan Al-Hujrah Al-Nabawiyyah anjuran bersama Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB) dan Ilma Events Sendirian Berhad, hari ini.​

PE 1.jpeg

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik di BKISHHB dijunjung oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof yang juga selaku Pengerusi Lembaga Penasihat BKISHHB.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar dan diikuti dengan sembah alu-aluan daripada Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II.
Yang Berhormat dalam sembah alu-aluannya menyembahkan bahawa inisiatif-inisiatif seumpama ini adalah bertepatan dengan titah-titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ingin melihat BKISHHB benar-benar menjadi Pusat Warisan Ilmu Islam, yang mampu untuk menghidupkan budaya ilmu melalui aktiviti-aktiviti keilmuan dan baginda juga ingin melihat komitmen institusi-institusi pengajian tinggi bagi sama-sama menjayakan aktiviti dan program keilmuan tersebut.
Selain itu, sembah Yang Berhormat, baginda juga melihat akan kepentingan bagi BKISHHB membina kolaborasi atau kerjasama dengan pelbagai sektor, baik bersama agensi-agensi kerajaan mahupun bersama pihak swasta, sebagai usaha untuk menjadikan BKISHHB sebuah pusat khazanah ilmu yang akan mampu menarik kerjasama dan pengunjung dari dalam serta luar negeri.
“Baginda berpandangan bahawa membina kolaborasi atau kerjasama dengan pelbagai pihak akan memberikan impak yang signifikan kepada imej BKISHHB dan juga kepada usaha untuk memastikan BKISHHB dapat beroperasi secara mampan (sustainable) untuk jangka masa panjang," sembah Yang Berhormat lagi.
Alhamdulillah, melalui bimbingan dan nasihat Lembaga Penasihat BKISHHB yang memberikan hala tuju strategik, Yang Berhormat melihat BKISHHB dengan usaha-usaha yang dilaksanakan, termasuk dengan penganjuran Pameran Sirah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bagi Taman Mulia (Al-Rawdah Al-Sharifah) dan Rumah Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam (Al-Hujrah Al-Nabawiyyah) ini telah mula bergerak menuju kepada apa yang dihasratkan oleh baginda untuk menjadikan BKISHHB sebagai pusat pameran yang unggul dan pusat khazanah ilmu, khususnya yang berkaitan dengan sejarah ketamadunan dan kegemilangan Islam.
Pada majlis tersebut, Duli Yang Teramat Mulia berkenan merasmikan Pameran Sirah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam Al-Rawdah Al-Sharifah dan Al-Hujrah Al-Nabawiyah dan seterusnya menyaksikan video perasmian pameran.
DYTM kemudian dijunjung berangkat menyaksikan Pameran Sirah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam Al-Rawdah Al-Sharifah dan Al-Hujrah Al-Nabawiyah di Ruang Galeri Istimewa BKISHHB.
Majlis diakhiri dengan sesi bergambar ramai dengan Ahli Lembaga Penasihat BKISHHB, Ahli Urus Setia Penasihat BKISHHB dan Ahli Jawatankuasa Pameran Sirah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam Al-Rawdah Al-Sharifah dan Al-Hujrah Al-Nabawiyah.
Pameran Sirah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang akan berlangsung selama lebih dua bulan, mulai 4 September sehingga 13 November 2025 akan menampilkan replika Rawdah yang ada di Masjid Nabawi di Madinah dan juga Rumah Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam yang Baginda diami bersama Sayyidatina Aisyah Radiallahuanha.
Para pengunjung juga akan berpeluang membaca maklumat yang dipaparkan dan mendengarkan penjelasan yang diberikan oleh pencerita (storyteller) daripada kalangan pegawai dan graduan yang mempunyai tauliah mengajar ugama daripada Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) yang ditugaskan memberikan penerangan di dalam galeri pameran.
Selain daripada pameran, program-program ilmiah dan aktiviti sampingan seperti jual-jualan termasuk penjualan buku-buku ilmiah, sesi ceramah oleh penceramah-penceramah dari dalam dan luar negeri, aktiviti penceritaan sejarah Islam, peraduan dan pertandingan juga akan diadakan sepanjang tempoh pameran.
Program ilmiah dan aktiviti-aktiviti di sepanjang pameran ini melibatkan institusi-institusi pengajian tinggi dan agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Mufti Kerajaan, Pusat Da'wah Islamiah, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan yang memberikan sokongan dalam pameran dengan penjualan buku-buku agama serta penglibatan pegawai-pegawai yang mempunyai ilmu pengetahuan dalam bidang sejarah dan tamadun Islam, khususnya Sirah Nabawiyyah untuk mengetengahkan sejarah hidup Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam kepada para pengunjung melalui program dan aktiviti yang bersesuaian sepanjang pameran tersebut.
Agensi dan institusi-institusi tersebut juga turut terlibat dalam menyemak maklumat-maklumat berkaitan bahan pameran yang dikongsikan kepada orang ramai adalah berasal daripada sumber sejarah dan tafsiran yang telah disusun dan disemak dengan teliti berdasarkan riwayat sahih dan sumber ilmiah muktabar.
Antara tujuan utama penganjuran pameran ini ialah untuk memupuk ikatan rohani dan cinta kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, menyampaikan ilmu kepada orang ramai, dan juga menghidupkan kembali sejarah aspek peribadi tahun-tahun terakhir kehidupan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.
Pameran ini juga diharapkan menjadi salah satu wadah utama dalam memperkaya pengalaman para pengunjung serta memperluaskan ilmu pengetahuan yang bermanfaat, terutama dalam bidang sejarah dan tamadun Islam dan lebih-lebih lagi riwayat kehidupan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.